Dalam kehidupan yang penuh mencabar
keimanan ini, marilah kita berusaha
mempertingkatkan ketakwaan kepada
Allah SWT. Istiqamah dalam melakukan
perkara yang diredai Allah dan jauhilah
perkara yang mengundang kemurkaan-
Nya.
Mudah-mudahan kita mendapat
kejayaan sebenar di dunia dan akhirat.
Dalam mencari dan mendalami erti
takwa, mimbar pada hari ini akan
membicarakan mengenai Hiburan Yang
Diredai.
Manusia dan hiburan tidak dapat
dipisahkan. Seperti tubuh badan
memerlukan makanan, begitulah jiwa
manusia memerlukan kepada hiburan.
Ruang lingkup hiburan sangat luas. Ia
merangkumi muzik, sukan dan
permainan, lakonan dan seumpamanya.
Ringkasnya, apa saja yang
mendatangkan kegembiraan dan
keceriaan pada jiwa, itulah hiburan.
Allah Yang Maha Mencipta amat
memahami bahawa manusia kadangkala
dirundung musibah dan duka.
Islam tak haramkan hiburan
Ketika itu, manusia mula mencari
sesuatu yang dapat menceriakan
jiwanya. Kadangkala pula manusia ingin
berhibur atau dihiburkan kerana
mendapat sesuatu berita gembira. Oleh
itu, Islam datang bukan untuk
mengharamkan hiburan dan
kegembiraan, tetapi lebih kepada
memberi garis panduan serta
membimbing manusia untuk memilih
hiburan yang mengundang keredaan
Allah SWT.
Sedarlah, hiburan hanyalah sebagai
rencah kehidupan. Kerana itu, tidak
patut bagi manusia mementingkan
hiburan lebih daripada mengabdikan
diri kepada Allah SWT atau dengan kata
lain, berhibur tanpa dibatasi syariat.
Amat tidak wajar lagi apabila seseorang
itu memberi sepenuh tumpuan dalam
hidupnya untuk hiburan semata-mata
sehingga melupakan tanggungjawabnya
sebagai hamba kepada Allah SWT.
Rasulullah SAW adalah insan dan Rasul
yang amat prihatin dengan jiwa
manusia. Baginda menyantuni isu
hiburan dengan penuh hikmah. Dalam
riwayat Imam al-Bukhari, seperti yang
dikhabarkan oleh Ummul Mukminin
Saidatina Aisyah ketika beliau
menghantar pengantin perempuan
kepada pengantin lelaki daripada kaum
Ansar, Baginda bertanya:
Bermaksud: Wahai Aisyah! Mengapa
tiada bersama kamu hiburan?
Sesungguhnya Orang Ansar sukakan
hiburan. Hadis ini menunjukkan Nabi
SAW prihatin dengan kecenderungan
berhibur sesuatu kaum. Lebih-lebih lagi
dalam majlis dan hari yang bertujuan
untuk kegembiraan dan kesukaan seperti
majlis perkahwinan, hari raya dan
seumpamanya.
Dalam hadis sahih diriwayatkan Imam
al-Bukhari, Ummul Mukminin, Saidatina
Aisyah menceritakan bahawa Abu Bakar
masuk ke dalam rumahku dan ketika itu
aku sedang bersama-sama dua hamba
wanita dari kalangan Ansar, mereka
berdua sedang mengalunkan
(menyanyikan) syair yang kebiasaannya
diucapkan kaum Ansar ketika perang
Buath. Aisyah menyatakan, Dan mereka
berdua bukan dari kalangan penyanyi.
Pada ketika itu, apabila Abu Bakar
melihatnya, beliau pun berkata,
Wajarkah seruling syaitan dibunyikan di
rumah Rasulullah SAW? Dan pada hari
itu adalah hari raya. Maka, Rasulullah
SAW pun bersabda yang bermaksud:
Wahai Abu Bakar, sesungguhnya setiap
kaum memiliki hari raya, dan ini hari
raya kita.
Biarpun Rasulullah SAW menerima
hiburan seperti yang disebutkan dalam
hadis tadi, sudah pasti terdapat batasan
dan panduan yang Islam gariskan untuk
umat Islam.
Kitab Fiqh Ala Mazahibil Arbaah
menerangkan empat syarat utama,
pertama perkataan sesuai dengan adab
dan ajaran Islam. Ini termasuklah lirik
atau skrip yang mengajak manusia
mendekati Allah SWT serta menjauhkan
manusia daripada menderhaka-Nya.
Hiburan galak maksiat dilarang
Islam melarang perkataan atau ucapan
yang mengundang kerosakan akidah
bahkan menggalakkan maksiat
walaupun dalam situasi bersenda gurau.
Kedua, persembahan dan
penampilannya tidak mengghairahkan
nafsu syahwat serta mengundang fitnah.
Lihatlah bagaimana sesuatu hiburan itu
digayakan sama ada sopan dan penuh
ketertiban atau sebaliknya.
Sekiranya ada unsur seperti aksi yang
menggoda nafsu apatah lagi berlainan
jantina.
Ia jelas diharamkan. Ketiga, acara tidak
disertai dengan sesuatu yang haram,
seperti hidangan arak, dadah, perjudian,
mendedahkan aurat serta percampuran
antara lelaki dan perempuan tanpa
batas.
Kita dapati pada hari ini acara hiburan
dipakej dengan pelbagai perkara haram
yang mengundang kemurkaan Allah.
Kejadian yang berlaku ke atas anak
remaja kita baru-baru ini, sebagai
peringatan untuk kita di dunia sebelum
hukuman yang lebih dahsyat di akhirat.
Keempat, hiburan itu tidak melalaikan
sehingga perintah Allah SWT
diketepikan. Misalnya apabila tiba
waktu solat, maka hendaklah ditunaikan
kewajipan itu terlebih dulu kerana itu
adalah perintah Allah SWT yang
pastinya jauh lebih penting daripada
berhibur.
Janganlah kerana leka dan tenggelam
dalam dunia hiburan sehingga
tanggungjawab selaku hamba Allah
diketepikan atau dilewat-lewatkan.
Hiburan yang melalaikan jelas adalah
agenda terancang musuh Islam untuk
melemahkan umat ini terutama generasi
muda. Inilah masanya umat Islam
berwaspada, bertindak dan bersatu bagi
membendung isu ini daripada terus
merebak dan menjadi barah.
Kamis, 15 Mei 2014
Hiburan melampaui batas syariat haram
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar